Friday, April 8, 2011

part 11


Saya dan Mujahid berjalan merentas bangunan demi bangunan, saya sungguh tak tahu ke mana tujuan saya. Kata Mujahid, itulah etika seorang pejuang, perahsia! Tak boleh berkata sesuka hati. Rahsia pasukan amatlah berharga. Malah mereka sendiri berahsia identiti sesama sendiri bila di medan juang. Kata Mujahid, mereka sendiri tak tahu bagaimana rupa ketua mereka. Ketua amatlah dilindungi pasukan al-Qassam, menurut Mujahid. Kerana ketua merupakan matlamat terbesar anggota musuh. Oleh itu setiap kali berjumpa ketua, ketua akan menutup muka dengan kain dipanggil kafiyeh. Segala strategi perang dan kawasan kubu dirahsiakan dan diberikan kod-kod. Pernah satu ketika pengkalan mereka diketahui musuh dan diserang. Habis segala senjata dan tempat membuat senjata musnah bersama. Sejak itu mereka memisahkan kubu latihan dengan tempat membuat senjata dan tempat menyimpan senjata. Sekurang-kurangnya tidaklah rugi teruk jika diserang musuh.

Strategi itu berhasil bila pernah tentera Israel tersilap mengebom bangunan yang sebenarnya kosong! Menurut Mujahid juga, setiap anggota yang ditugaskan menggali terowong mestilah diam dan tidak mendedahkan identiti masing. Macam tulah perahsianya anggota al-Qassam.

Kaki masih melangkah. Saya pandang kiri dan kanan. Sengsaranya bumi palestin tapi rakyatnya masih gigih meneruskan hidup dengan berniaga, bersekolah...eh kenapa Mujahid bawa aku ke sekolah?

"Kita dah sampai. Mari dengarkan ilmu." Saya memandang wajah Mujahid dengan penuh tanda soal di mata.

"Kami pun manusia. Kami juga ingin menuntut ilmu. Pejuang Allah tak boleh statik. Bila ada peluang, kena menuntut ilmu. Pada waktu ini yang dewasa akan terus berkawal dan mengatur strategi manakala anak muda akan pergi menuntut ilmu. Sambil-sambil tu memerhati dan melaporkan keadaan setempat." Terharu saya rasa. Walaupun dalam keadaan susah-payah macam ni, anak-anak palestin masih mengejar ilmu. Apa yang terjadi dekat anak bangsa saya?

"Kamu tahu di mana boleh kita mendapatkan taman-taman syurga di dunia ini?" Soal Mujahid, melarikan lamunan saya. Saya menggelengkan kepala. Tak tahu.

"Di majlis ilmu." Mujahid tersenyum dan mempelawa saya duduk di sebelahnya. Subhanallah. Saya pun nak selalu pergi majlis ilmulah macam tu! Duduk di taman-taman syurga. Bestnya!!

Saya, Mujahid dan beberapa kanak-kanak yang lain sedang tekun mendengar ceramah seorang guru berkaitan iman. Seseorang kenalah sentiasa meletakkan keyakinannya kepada Allah, tiada yang lain. Setiap apa yang terjadi berlaku dengan izin Allah, dengan pertolongan dan kuasa Allah. Maka kepada siapa lagi harus kita yakin dan meletakkan harapan? Hanya Allah. Saya melihat Mujahid menulis sesuatu di atas buku yang kelihatan agak tebal dan lusuh berwarna perang kekuningan, seperti karat. Tulisan Mujahid kemas. Sesekali bila muallim berkata tentang sesuatu, dibelek-beleknya halaman yang lalu, menambah sesuatu pada tulisan yang lama..Notanya penuh. Kelihatan tanda-tanda anak panah di sana-sini menunjukkan ada nota tambahan. Kagum. Tiba-tiba Mujahid mengoyakkan salah satu halaman muka suratnya dan memberikannya kepada saya.

"Nah, ambillah. Ilmu itu akan hilang jika tidak ditulis melainkan jika kau bukan seorang manusia." Mujahid menyerahkan sebatang pensil kepada saya. Saya tersenyum. Terima kasih Mujahid. Banyak yang saya belajar daripada awak.

Tiba-tiba kedengaran suara jeritan dari jauh. Bau hangit segera hinggap ke hidung saya. Sesaat itu, sebuah bebola api jatuh di hadapan bangunan sekolah. MasyaAllah, saya terpaku. Bangunan itu tadinya berdiri gagah. Orang-orang di dalamnya sedang berniaga dan berjual beli. Kini bangunan itu seolah-olahnya tak pernah wujud lagi. Yang tinggal hanya bebatuan yang hancur bergabung bersama dengan tanah.

Seluruh bilik darjah menjadi kecoh. Muallim tadi menyuruh kami lari menyelamatkan diri. Keluar saja daripada bangunan, saya mendengar bunyi yang berdesing dari jauh. Turut hadir bersama bunyi ialah angin yang berpusar dengan agak kuat.

"Itulah pesawat Apache Israel yang telah membunuh ketua kami, Dr Abdul Aziz Al-Rantisi!" Pekik Mujahid. Dr Abdul Aziz Al-Rantisi, saya macam pernah dengar nama itu. Tak silap saya, saya pernah menonton videonya yang dimainkan oleh kakak saya. Kata-katanya yang masih saya ingat "It's death whether by killing or by cancer; it's the same thing. Nothing will change if it's an Apache (helicopter) or cardiac arrest. But I prefer to be killed by Apache."

Subhanallah Allah telah mengabulkan doanya untuk syahid. Semoga Allah kabulkan doa saya juga.

Saya, Mujahid dan kanak-kanak lain berlari sekuat hati. Menjauhi Israel laknatullah. Walaupun bersenjata tetapi Mujahid melarang menggunakannya.

"Gunakan bila terdesak."

---------------------------------------------------------

Aku memerhatikan Mujahid dari sisi katilnya. Detak jantungnya menjadi semakin rancak. Kemudian tiba-tiba tenang dan rancak semula. Apalah yang sedang dialaminya di alam mimpi sana. Aku sering terfikir tentang misteri pesakit koma. Macam-macam reaksi yang boleh aku perhatikan. Selalunya tenang. Kadang-kadang rentak jantung seolah berlari-lari laju di skrin mesin. Ada juga pesakit yang tiba-tiba terbit airmata di kelopak mata. Misteri. Membuat aku selalu mengalah bahawa ilmu aku masih sedikit meskipun aku menghabiskan seumur hidup untuk menuntut ilmu. Masih ada bahagian ilmu yang masih dihijab Allah.

Aku mencatat paras glukos Mujahid. Alhamdulillah stabil. Masih lagi segar di ingatan saat aku menerima Mujahid sebagai pesakit. Sejak itu aku terus rasa tertarik untuk mengenal dan mendekati anak muda ini. Walau hanya terbaring tanpa sebarang reaksi fizikal, aku suka berada di sisinya. Seolah ada aura yang sangat positif. Melalui cerita orang-orang terdekatnya, aku jadi kagum. Secara tak langsung Mujahid banyak mengajarku.



Tuesday, April 5, 2011

part 10


Daripada panorama yang hitam tanpa cahaya, kelopak mata saya perlahan-lahan terbuka. Jalur-jalur cahaya melintasi ruang pandangan. Telinga pula mula menangkap bunyi. Bising dan bingit. Bunyi letupan meletus di sana sini. Saya melihat bumi ini seakan dihujani api. Di manakah saya? Jeritan-jeritan manusia mulai mendekati deria pendengaran. Di manakah saya? Manusia semuanya lari bertempiaran. Di manakan saya? Ya Allah, kiamatkah ini??

Bingung. Sesungguhnya saya bingung. Di mana saya? Kenapa saya di sini? Apa yang perlu saya lakukan? Saya berlari. Berlari tanpa arah. Melanggar sesiapa sahaja yang melintas dan menghalang jalan saya. Sampai satu sudut, larian saya terhenti. terdapat sebuah dinding yang amat tinggi seakan terbuat daripada konkrit menghalang pandangan dan perjalanan saya. Saya kemudiannya berlari ke arah yang berlainan. Dinding yang sama saya temui. Tanpa putus asa, saya terus berlari namun dinding yang sama tetap ditemui. Saya buntu. Allah! Di mana aku??!!

"Kau di Palestin." Seorang kanak-kanak lelaki berkulit putih mulus, wajahnya penuh cahaya kini berada di depan mata saya. Wajah itu saya amati dalam-dalam. Seperti pernah saya temui.

"Makanlah. Aku jumpa kau terlantar di tepi dinding pemisah Palestin-Israel. Sudah sehari semalam kau di sini." Saya tercengang. Bagaimana saya boleh berada di Palestin? Seingat saya, saya baru saja main perang-perang dengan Nu'man dan Ikram.

"Aku Mujahid. Siapa nama kau?" Tanya kanak-kanak Palestin itu. Alangkah terkejutnya saya, kini baru saya ingat siapa dia.

"Kau Mujahid? Yang dalam tv tu?" Saya menjadi sangat teruja dapat berjumpa dengan kanak-kanak yang saya rasakan bagai hero cilik tanah Palestin.

"Apa yang kau mengarut ni. Aku tak faham." Mujahid tersengih menampakkan baris giginya yang putih bersih. Saya terus bangkit dari pembaringan dan memeluk Mujahid.

"Nama aku pun Mujahid! Aku nak jadi kawan kau! Aku nak bersama kau untuk bebaskan Palestin!" Saya memeluk erat Mujahid. Saya tak sangka saya boleh berjumpa Mujahid. Saya masih tak faham macam mana saya boleh berada di sini namun kini saya tak peduli kerana harapan saya untuk bertemu Mujahid dan berada bersamanya di tanah Palestin kini telah jadi kenyataan.

"Haha. Susahlah macam ni. Nama kita serupa. Orang lain keliru nanti." Mujahid membalas pelukan saya dengan penuh keramahan tanda ikatan persahabatan yang baru.

"Aku Mujahid Malaysia, kau Mujahid Palestin. Tapi aku cemburu. Aku pun nak jadi Mujahid Palestin!" Saya melepaskan pelukan dan menyeluruhi wajah Mujahid, masih tidak percaya. Tubuhnya kecil sedikit daripada saya. Seingat saya Mujahid yang keluar di TV lebih muda daripada saya. Lebih muda, tapi lebih matang. Itu saya sangat pasti.

"Haha tak perlu cemburu. Kita berdua Mujahid Islam. Okey?" Saya tersenyum dan mengangguk. Mujahid menyuapkan makanannya kepada saya. Hanyalah sekeping roti kosong.
Kemudian saya meneguk air kosong buat melepaskan dahaga. Saya memandang sekeliling. Rupanya bukan saya dan Mujahid je kat sini! Seluruh bilik ini yang bermandikan cahaya lilin ini dipenuhi lelaki-lelaki yang berseragam tentera. Kebanyakan orang yang saya lihat sedang solat dan membaca al-Quran serta berzikir.

"Kat mana ni?" Saya bertanya kepada Mujahid.

"Inilah kem pasukan Hamas. Untuk beberapa hari ni kau akan bersamaku dalam kem ini."

"Hamas? Ape tu?"

"Hamas ialah salah satu sayap perjuangan Ikhwanul Muslimin dari Mesir, di asaskan oleh Sheikh Ahmad Yassin. Hamas berpusat di Gaza. Semua anggota Hamas ialah anggota terpilih. Bukan sembarangan orang dapat menganggotai Hamas dan bukan semua juga boleh berada bersama pasukan Izuddin Al-Qassam."

"Ikhwanul Muslimin? Izuddin Al-Qassam? Siapa semua tu?" Saya masih samar-samar dengan segala istilah yang diuucapkan Mujahid.

"Ikhwanul Muslimin tu ialah sebuah persatuan Islam yang diasaskan oleh Sheikh Hasan Al-Banna di Mesir. Persatuan ni mengumpulkan para muslimin dan muslimat yang nak kembalikan kegemilangan Islam di tengah-tengah kemelut ummah yang kucar-kacir sekarang. Kumpulan ini membentuk individu-individu muslim yang sejati melalui tarbiyyah islami (pendidikan) yang berterusan. Tarbiyyah ni dijalankan dalam bentuk kumpulan-kumpulan kecil dipanggil usrah. Macam sunnah nabi Muhammad waktu awal-awal Islam disebarkan dulu. Kau faham?"

"Oh..aku baru teringat ustazah pernah cerita yang dakwah Rasulullah SAW dimulakan secara berkumpulan yang kecil-kecilan dan secara sembunyi-sembunyi. Macam tu?" Mujahid mengangguk dan tersenyum.

"Ibu dan ayah pun selalu pergi usrah." Saya menambah. Buat sementara ingatan saya kembali kepada dua wajah ayah bonda tercinta. Setiap minggu saya lihat mereka pergi usrah. Kadangkala saya ikut juga. Yang seronoknya bagi saya ialah bila ramai-ramai kawan ayah dan ibu bawa macam-macam jenis makanan. Sedap-sedap belaka. Dalam majlis usrah tu saya lihat mereka mengaji al-Quran, berbincang-bincang dan akhir sekali jamuan makan. Sesekali saya ikut ayah pergi daurah dan qiyam di masjid. Ayah akan kejut saya solat tengah malam tapi biasanya saya bangun, duduk dan berzikir 2-3 minit kemudian saya sambung tidur.

"Bagus, maknanya kau faham. Sekarang Izuddin Al-Qassam pula. Al-Qassam ni ialah barisan tentera khusus untuk pejuang-pejuang palestin. Hanya anggota Hamas terpilih je yang boleh sertai. Kau dah faham sistem tarbiyyah tadi kan. Dalam hamas akan selalu ada perjumpaan berkumpulan. Setiap ketua akan memantau anak buah mereka. Mana yang bagus dan berkualiti akan ditarik masuk ke dalam sayap Al-Qassam." Aku tercengang mendengarnya. Kedengaran sungguh hebat dan bukan calang-calang orang boleh masuk sayap Al-Qassam.

"Orang yang masuk Al-Qassam ni kena ada rekod yang baik, hafal sekurang-kurangnya 15 juzuk al-Quran, aktif hadiri perjumpaan di masjid, tinggi ilmu al-Quran dan hadithnya. Dan paling penting jugak, perahsia!" Mujahid menyambung lagi. Saya tambah kagum. Baru mahu bertanya lanjut lagi, Mujahid suruh saya mendiamkan diri dengan isyarat jari telunjuk di bibir. Mujahid melihat ke kiri dan ke kanan.

"Pertemuan ini hanya bagi mereka yang telah bersedia untuk syahid. Bagi yang belum bersedia, silakan keluar dan teruskan buat apa yang sedang kamu buat." Suara garau itu bergema ke seluruh ruang bilik. Gemanya memantul masuk ke dalam segenap urat nadi saya. Bulu roma meremang naik. Syahid? Bersediakah saya? Layakkah saya? Saya memandang ke sekeliling. Tiada seorang pun yang keluar dari bilik. Masing-masing setia di tempat duduk masing-masing. Pandangan semua tertumpu ke arah ketua yang bersuara tadi. Wajahnya samar-samar dalam cahaya lilin yang malap. Hanya susuk tubuhnya yang tinggi dan tegap sahaja yang boleh saya amati.

"Saya mahu syahid! syahid impian saya!" Saya laungkan semangat itu dalam hati saya. Seluruh jasad saya seolah telah melekat di tanah Palestin. Saya tak mahu tinggalkan bilik ini. Seluruh ahli bilik tersebut berbincang sesuatu yang tidak dapat saya fahami isinya. Mungkin bahasa arab tinggi. Mungkin istilah-istilah atau kod-kod rahsia. Seterusnya kesemua ahli bilik bangkit bertakbir dan bersolat sunat dua rakaat. Saya turut serta. Akhirnya kesemuanya bersurai. Berpecah mengikut arahan ketua masing-masing.

"Mujahid, kau ikut je aku!" Mujahid meraih bahu saya dan kami berlari ke suatu destinasi.

"Macam mana kau boleh sampai ke sini Mujahid?" Saya menyoal Mujahid, didorong rasa ingin tahu yang sangat kuat. Mestilah, Mujahid nampaknya tiada ahli keluarga di sini. Bukankah semuanya telah mati syahid. Macam mana pula boleh bersama-sama anggota hamas?

"Aku pernah dikejar Israel pada suatu malam, malam yang aku kehilangan ahli keluargaku. Aku dikepung dan dicederakan. Aku tidak sedarkan diri. Bila aku buka mata je, aku bersama dengan anggota hamas. Mereka telah menyelamatkan aku dengan izin Allah. Mereka cakap mereka kenal abang-abangku. Aku akhirnya tinggal dengan mereka, dijaga oleh mereka dan dididik ilmu agama dan ilmu perang oleh mereka. Bukan aku je kanak-kanak kat sini. Ramai lagi kanak-kanak dan remaja Palestin di sini. Kamilah golongan pelapis." Dalam kami berlari-lari meredah kedinginan malam, Mujahid bercerita serba ringkas tentang penglibatannya dengan hamas. Dalam diam, saya kagum. Kagum dengan kekuatan anak-anak Palestin. Benarlah, mereka orang yang terpilih.

"Ke mana kita ni Mujahid?"

"Jihad dan syahid fi sabilillah!" Mujahid menjawab sambil menjulang penumbuknya ke atas penuh semangat.

"Kita nak bom diri sendiri ke?" Teringat pula saya, dekat surat khabar banyak mendedahkan tentang pengebom-pengebom berani mati. Mereka berjuang bergadai nyawa untuk agama Islam, kata suratkhabar.

"Hish! Nyawa kita bukan semurah itu! Hamas mengajar kami agar berjihad penuh strategi dan matlamat. Kami tak mengebom sesuka hati atau membuta tuli. Kami kenalpasti siapa musuh kami kemudian kami susun strategi yang mantap. Akhir sekali kami berserah kepada Allah, pemegang nyawa kami semua. Kami akan bertempur habis-habisan selagi ada peluang dan cara yang berkesan. Menang atau syahid, itu harapan kami!" Mujahid penuh semangat mengungkap kata-katanya.

"Ingat ni, Mujahid. Tentera Israel bertempur untuk dapatkan sesuatu. Tapi kita bertempur atas dasar keyakinan kita, iman kita! Keyakinan kita, tekad dan kemahuan kita yang bulat terhadap mati syahidlah yang membuat kita lebih kuat berbanding musuh! Ini modal utama kita!" Mujahid sekali lagi meniupkan kata-kata semangatnya. Saya menjadi berkobar-kobar untuk menjadi syahid. Mujahid membelok ke arah satu bangunan kecil. Di situ Mujahid membuka sebuah peti, terdapat senjata di dalamnya. M-16! Saya kenal senapang tu. Raifal M-16 selalu je saya gunakan dalam game-game bertempur yang saya main di komputer atau di playstation Nu'man. Setiap kali habis sekolah, saya dan Ikram kadang-kadang pergi ke rumah Nu'man untuk main Counterstrike. Melalui game tu saya banyak kenal senjata. M-16 sudah tak asing di mata.

"Kau tahu ni apa?" Soal Mujahid. Sambil tersengih, saya mengangguk. Raifal tersebut ialah sejenis raifal yang ringan. bermuncung panjang, pelurunya berkaliber 5.56 mm, kelopak pelurunya boleh memuatkan 30 butir peluru dan melalui fungsi automatik, sekali tarikan picunya boleh memuntahnya semua peluru. Manakala dengan fungsi separa automatik, boleh memuntahkan 3 biji peluru dengan sekali tarikan picu. Yang saya tahu ada banyak variasi untuk M-16 namun saya tak dapat pastikan yang mana mewakili fungsi yang mana.

Suara muadzin membelah langit bumi anbiya'. Alunannya yang merdu terhimpun membentuk satu rasa yang sukar digambarkan dengan kata-kata mahupun tulisan.

"Bagus, kau ambil satu. Mari kita ke bawah pokok sana. Dah masuk waktu Subuh." Kami berdua berlari ke bawah pokok. Dengan air botol yang dibekalkan anggota hamas, kami berwudhuk. Airnya sejuk tapi nyaman. Mujahid menjadi imam dan saya makmumnya. Takbiratul ihram di angkat. Terasa nyaman dan khusyuknya bersolat subuh secara berjemaah ditemani embun, pohon-pohon, tanah, langit dan bunyi kicauan burung-burung. Zikir kami dan alam bersatu dalam satu irama yang indah. Syukur yang tak terkira dipanjatkan ke hadrat ilahi. Dapat sujud di bumi Palestin, bukankah ia satu anugerah terbesar. Mencium tanah yang mewangi dengan darah para syuhada'.


Monday, April 4, 2011

part 9


"Antara bidadari-bidadari syurga dan perempuan-perempuan cun dekat dunia ni, mana satu pilihan korang?" Saya menyoal salah seorang remaja lelaki yang turut berada dalam kumpulan perbincangan tersebut.

"Mestilah bidadari syurga bang!!" Bersinar-sinar mata lelaki yang berkaca mata 'old skool' berbingkai besar hingga menyembunyikan hidungnya.

"Kau tahu ke rupa bidadari syurga tu macam mane?? berangan jelah kau! amalan tak macam ahli syurga, ada hati nak bidadari syurga" Sahut satu suara lagi.

"Dah nama pun bidadari, dari syurga pulak tu. Mestilah cantik seribu kali cantik daripada perempuan-perempuan kat dunia ni." Seorang remaja lelaki yang berambut kerinting pula mencelah.

"Ok adik-adik. Tak payahlah kita gaduh-gaduh pasal kecantikan bidadari tu ye. Kalau nak tahu, buka al-Quran, baca tafsirannya. Dalam al-Quran sendiri Allah ada menceritakan. Yang abang nak sampaikan di sini ialah bukannya tentang kecantikan bidadari. Tapi tentang pilihan adik-adik sendiri. Kita manusia ni memang cenderung untuk pilih sesuatu yang lebih baik, lebih cantik dan lebih kekal. Kalau ditanya dekat orang non-Muslim sendiri pun mereka akan pilih syurga. Tapi cuba adik-adik renungkan, berapa banyak orang di zaman ini yang hanya meletakkan pilihan mereka di bibir je." Saya membuka ruang buat para remaja tersebut berfikir dan merenung.

"Maksud abang?" Si jejaka berwajah putih kuning cuba menyungkil maksud di sebalik kata-kata saya.

"Aku nak jadi perdana menteri! Aku nak terbang ke eropah! Aku nak masuk syurga! Semua ni kata-kata kebanyakan orang. Harapan mereka hanya tinggal di bibir. Untuk melaksanakan impian-impian tersebut, hanya dalam mimpi. Bak kata orang putih, walk the talk tapi sekarang sikit sekali orang yang cakapnya serupa bikin. faham tak?" Mereka berlima kesemuanya mengangguk-angguk tanda faham.

"Baguslah. Abang nak semua orang renungkan dalam-dalam kata-kata abang hari ni dan kaitkan dengan bidadari syurga yang abang tanya tadi. Ingat, rajin-rajin bukak Quran untuk cari jawapan. Abang kena pergi sekarang ni, nanti tak masak pulak mak abang kat rumah. Assalamualaikum." Mereka menjawab salam saya secara serentak. Saya berlalu sambil tersenyum puas. Dengan lafaz bismillah, langkah disusun menuju ke rumah. Ibu sedang menunggu kelapa dan daun pandannya untuk dibuat pengat pisang, buat hidangan minum petang. oh sedapnyaaa.

Alhamdulillah, saya Mujahid, kini berusia 19 tahun, telah tamat Sekolah Menengah Agama dan baru selesai Asasi Undang-Undang di UIAM. Ingat lagi tak saya, budak kecik yang ghairah nak pergi berjihad dengan senjata tu? Hee..Setelah di'lecture' ibu tentang kepentingan ilmu dan betapa tajamnya mata pen berbanding mata pedang, saya nekad akan berjuang dalam bidang yang saya mampu di waktu itu, iaitu menuntut ilmu. Alhamdulillah saya berjaya mendapat 5A dalam UPSR. Saya request ibu dan ayah untuk hantar saya sekolah agama maka sampailah saya ke SMAP Kajang. Ilmu agama saya telah diperdalamkan lagi sewatu belajar di SMAP. Di sana saya amabil peluang untuk memahami masalah ummah dan krisis zionis-palestin dengan sedalam-dalamnya. Berkat tunjuk ajar Ustaz Zakri juga, saya diasah bakat dalam bidang pidato dan perbahasan. Saya dilantik menjadi ketua pelajar di akhir tahun pengajian dan saya guna peluang tersebut untuk mendedahkan isu Palestin kepada semua pelajar. Program demi program yang saya adakan di sekolah berkenaan dengan Palestin sampai junior-junior panggil saya abang Palestin.

*lagu bingkai kehidupan-shoutul harakah dari handphone Mujahid berdendang penuh semangat*

"Assalamualaikum! Nu'man! Lama tak dengar cerita! Balik kampung tak ni?"

"Waalaikumussalam. Ni la yang nak bagitahu ko ni, aku balik petang ni, insyaAllah. Jom kita jumpa malam ni dekat warung mamak tempat biasa."

"Allah..kau baru je balik dah nak jumpa aku. Rehat-rehatlah dulu brader. Tak lari punya aku ni."

"Tak bolehlah Mujahid. Aku ada hal mustahak nak cerita ni!"

"Kau dari dulu sampai sekaranglah hal mustahak tak habis-habis. Ok insyaAllah kedai mamak tempat biasa ye."

Nu'man..Nu'man..ada-ada je..Setiap kali berjumpa, mesti ada hal mustahak nak diceritakannya. Biasanya hal mustahak yang dimaksudkannya mesti bab-bab isu semasa yang dia bagai cacing kepanasan nak berbincang dengan saya.

Dah 10 minit berjalan kaki meredah panas bumi Malaysia ni. Bukannya tak boleh bawa kereta tapi saja nak sihatkan badan maka memilih untuk jalan kaki petang ni. Sambil-sambil tu boleh tadabbur alam. Bumi Nilai yang sungguh tenang, dikelilingi pokok kelapa sawit kiri dan kanan. Selangkah-dua langkah berjalan, badan mula rasa macam tengah bermandi peluh ni. Kaki pula mula rasa penat semacam. Tak pernah pula penat macam ni. Nafas tercungap-cungap. Baru 10 minit berjalan. Kepala pula mula berdenyut-denyut, berpinar-pinar mata dek cahaya mentari yang teramatlah teriknya. Hai anehnya. Kot-kot la saya baru balik dari New Zealand sampai merasa alergik dengan matahari tanah air sendiri.

"Abang Mujahid! Apesal jalan terhuyung-hayang tu? mabuk ke??" Kedengaran suara-suara jeritan anak-anak muda yang ku kenali. Suara-suara itu menjadi sayup-sayup je.

"Haha..agak-agaklah nak mabuk siang-siang bang!"

"Abang! Abang!! Abaanng!!"

"Eh kau angkat belah sana."

Suara-suara terus hilang. Cahaya mentari pun akhirnya terbunuh dari pandangan. Jasad seakan telah dibius, tidak merasa berpijak lagi.

Friday, April 1, 2011

bukan mukaddimah

Assalamualaikum wbt..

alhamdulillah novel tak seberapa saya ni sudah ada pembaca. asalnya mahu senyapkan dulu pembikinan novel ni sebab tak yakin sangat ada yang nak baca. perancangan awalnya mahu habiskan semua chapter dulu baru hebah-hebahkan. Namun kuasa Allah, apa yang dirancang terlebih dahulu dirancang oleh Yang Maha Merancang, yang lebih bijak merancang dan paling bagus perancangannya.

Maka kali ni saya tak kisah, ada pembaca ke tak ada ke, saya rasa patut menghebahkannya supaya ada yang tahu kewujudannya, ada yang berminat mengikutinya dan seterusnya ada yang menyebar-nyebarkannya. Kerana inilah tujuan asalnya pun, untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang isu palestin.

Terlebih dahulu ampun maaf dipinta jika apa yang dinukilkan di sini tidaklah seberapa dan tidaklah mengikut citarasa masing-masing. Sesungguhnya saya bukanlah orang yang berkelulusan tinggi dalam bidang penulisan. Menulis hanyalah sebuah minat yang dipupuk oleh cikgu2 bahasa sejak di zaman sekolah. Memandangkan bidang saya kini tidak menekankan hasil penulisan, maka saya tak mahu bakat yang diasah dan dicungkil oleh cikgu2 sejak zaman sekolah ni terbiar berkarat begitu sahaja. Oleh itu saya constantly menulis dalam apa sahaja topik yang saya mahu kongsikan dalam blog saya.

Menyedari bahawa minat dan bakat penulisan ini adalah anugerah pinjaman ilahi, sebagai tanda syukur, biarlah kebolehan ini saya salurkan untuk agama tercinta saya ni. Saya tidak pandai bercakap, tidak pandai mengangkat senjata, tak pandai ilmu agama, tak pandai serba-serbilah. tapi saya pandai membaca dan boleh menulis. dua kebolehan ini saya sinergikan untuk menghasilkan sebuah karya yang boleh membawa faedah kepada pembaca-pembaca dan menguntungkan agama saya.

ingin saya beri amaran di sini, saya bukanlah seorang penulis. jauh sekali seorang karyawan, seniman dan seumpamanya. saya hanyalah hamba Allah yang ingin lakukan sesuatu untuk umatnya yang makin lelah. yang ingin lakukan sesuatu buat ubat kelelahan iman diri sendiri juga. Saya tidak harapkan pembaca suka dengan hasil tulisan saya. Apa yang saya harapkan adalah mesej yang saya nak sampaikan jelas dan sampai ke dasar hati pembaca. Maka kritikan membina pembaca amatlah saya harapkan supaya mesej tersebut menjadi tajam dan menusuk kalbu. Kritikan anda juga pastinya diganjar Allah, insyaAllah. Biarlah usaha untuk membebaskan bumi palestin ini kita kerahkan dan usahakan bersama, berkongsi saham buat menempah tiket ke syurga, ameen~

Nama Saya Mujahid, sebuah 'projek' besar saya tahun ini, sebuah novel khas buat saudara-saudaraku di Palestin. Semoga dengan menulis novel ini, banyak pengajaran boleh kita kongsikan bersama dan khasnya buat diri saya sendiri, semoga bertambah ilmu tentang isu palestin. Do not be an ignorant because we are the people of Muhammad. Nabi Muhammad SAW mengajar kita bahawa kita semua bersaudara atas nama Allah.

Ukhwah fillah buat semua yang membaca. Read, ponder, critic and comment :)

p/s: ini bukan mukaddimah sebab ia muncul di tengah2 cerita. huhu