Friday, December 2, 2011

part 14


Ya Allah, rupanya tanpa aku sedari, telah lama aku menyepikan diri daripada dakwah dan tarbiah. Dunia telah mensibukkanku dengan janji-janji indahnya yang memperdaya. Aku leka dalam duniaku sendiri ya Allah. Mindaku dalam diam mencongak-congak tempoh 'hibernasi'ku dalam dunia dakwah dan tarbiyyah. Hampir 13 bulan. Astaghfirullahal 'adzim. 13 bulan lamanya! Ya Allah, aku belum pun lagi bergelar Medical Officer (MO) tapi lagak sibukku mengalahkan pengarah hospital! Sedetik itu, rasa malu mengerumuniku. Betapa aku hamba yang mudah lupa. Begitu senang terbuai dengan kesibukan dunia.

Tak ada siapa ke yang contact aku dan mengajak-ajak aku ke program? Aku cuba mengingat-ingat. Ah..selalunya ada tapi aku bagi alasan sibuk. Err dan kemudian aku sendiri menukar sim card. Nombor telefon baru. Jadi tiada siapa yang dapat menghubungiku lagi. Ya Allah, bukan salah dunia. Aku sendiri yang memilih untuk meminggirkan diri sendiri daripada perjuangan ini. Aku sendiri yang segera berasa lemah dan cepat mengalah. Astaghfirullah..setelah ujian demi ujian yang aku hadapi dalam dunia tarbiyyah dan dakwah ini, akhirnya aku tewas dengan kesibukan sebagai seorang House Officer (HO). Kecilnya jiwaku ya Allah. Mungkin juga aku merasa diri sendiri sudah cukup baik. Tak perlu lagi ditarbiyyah. Almaklumlah aku sudah menjadi ahli penggerak dalam kumpulanku. Aku tak pernah miss apa-apa program pun. Setiap kitab berjaya aku bedah siasat bersama ahli kumpulanku. Macam-macam program telah aku kendalikan. Ya, aku telah diserang jangkitan paling merbahaya buat seorang pendakwah. Penyakit ujub. Mungkinkah telah merebak menjadi riyak? Nauzubillahi min zalik.

Ya Allah..sudah jauh aku tersasar daripada niat asalku, ya Allah..Ampunkan aku ya Allah. HambaMu ini lemah lagi tidak berdaya. Mudah pula melupakan janji-janjinya kepadaMu. Ya Allah, Engkaulah yang telah menyelamatkan aku daripada terus lena dalam fatamorgana. Engkau telah memilih aku untuk berada dalam saf-saf orang yang mahu berjuang untuk agamaMu. Itulah semulia-mulia tempat yang pernah Kau tempatkan ya Allah. Namun aku culas. Aku leka dan lalai. Aku tidak menghargai nikmat yang Kau berikan. Ampunkanku ya Allah...

Aku menghampiri Mujahid dan duduk di birai katil. Wajah jernihnya kuamati. Airmata masih mencurah-curah mengenangkan dosa-dosa sendiri. Hanya dengan kehadirannya, ya Allah..Kau bangkitkan suatu rasa rindu yang mendalam dari jiwaku. Terima kasih kerana menghantar tetamu berharga ini, ya Allah.

Seketika, wajah Mujahid yang tenang itu tiba-tiba berubah mendung. Dahinya berkerut. Aku menggenggam tangannya. Erat. Sukar untuk aku mentafsir riak wajahnya.

"Apalah yang sedang kau lalui di alam sana, Mujahid. Bangkitlah! Kau kena berjuang! Siapa pun awak, saya percaya awak seorang pejuang!" Tangannya kulepaskan. Aku bangkit dari katil untuk meneruskan tugasku kepada pesakit lain.

"Mujahiiiiiiiid!!!" Aku menoleh. Mujahid panggil aku?

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

3 jiwa bertemu dan bersatu dalam satu genggaman.


Part 13


Saya melihat satu persatu manusia rebah dihentam peluru zionis laknatullah. Airmata kanak-kanak yang kehilangan ahli keluarga pada saat itu seakan sudah kering. Sekering tanahnya yang sudah lama tidak menerima air hujan. Dengan kekuatan yang luarbiasa mereka mara menghadap musuh yang lengkap bersenjata. Saya panik. Senjata kami telah dirampas musuh.

"Tanah ini sudah sekian lama hanya dibasahi darah para mujahid fi sabilillah!" Pekik Mujahid di sisiku. Dia lalu duduk mencangkung, menggenggam batu-batu kerikil bersama pasir-pasir. Dia melangkah laju ke hadapan, menyertai rakan-rakannya untuk berhadapan dengan musuh.

"Tanah ini pasti akan menghancurkan kamu yahudi yang dilaknat!!" Kebencian jelas terpancar di wajah kanak-kanak itu. Saya masih ingat beberapa ketika yang lalu kami duduk bersama menuntut ilmu, bergelak ketawa, bersenda gurau malah kami disuburkan dengan rasa kasih sayang. Tiada langsung disemarakkan rasa benci kanak-kanak ini kepada musuh. Mungkin kerana rasa benci itu sudah lama ada. Tidak perlu diungkit dan disemarakkan berkali-kali. Selagi punya masa untuk berkasih sayang, buat apa digunakan masa yang sedikit itu untuk melayan rasa benci dan dendam. Kebencian terhadap musuh akan lahir dengan sendirinya bila kecintaan mereka terhadap agama Allah dan tanah suci Palestin dicabar.

"Allahuakbar!!" kanak-kanak di hadapan saya dengan penuh berani berlari ke arah musuh sambil melaungkan takbir tanpa henti. Subhanallah. Dari manakah datangnya kekuatan dalam jiwa mereka? Saya hanya tercegat di sini. Tidak mampu berbuat apa. Saya masih sempurna anggota badan. Saya masih berfikiran waras. Saya tidak mengalami luka-luka barang sedikit pun. Saya tidak kehilangan apa pun. Sedangkan kanak-kanak itu sudah runtun hatinya melihat ibubapa dan adik beradik serta kaum kerabat mereka dibedil dengan dasyat di hadapan mata mereka sendiri. Kanak-kanak itu malah ada yang tangan dan kakinya telah ditembus peluru, darahnya memancut-mancut keluar. Namun kekuatan yang luarbiasa membuatkan yang sudah tempang terhinjut-hinjut laju mara mengahadap musuh. Yang sudah terbaring namun masih nyawa-nyawa ikan tidak mahu ketinggalan, cuba untuk mengengsot, mengerah segala kudrat yang ada, berjuang hingga akhir nafas!

Saya? Ya Allah saya masih di sini, bak patung cendana! Seolah-olah tiada peranan, hanya menjadi hiasan. Hiasan yang tiada nilainya dalam babak perang ini. Sedangkan pokok pun boleh dijadikan tempat berteduh atau berlindung. Namun..namun...saya lebih hina daripada pokok! Mujahid! Bukankah kau kata kau nak berada di Palestin, berperang jiwa dan raga bersama para pejuang agama Allah? Tapi kau di sini, hanya sebagai pemerhati? saksi? patung cendana? Ah, sungguh hina keadaan kau sekarang, Mujahid!

Laungan takbir terus bergema di langit yang dipenuhi asap. Kanak-kanak yang mara sebentar tadi sudah ada syahid. Tentera-tentera zionis juga ada yang lari lintang pukang setelah dibaling dengan bebatuan kerikil daripada kumpulan kanak-kanak tadi.

"Lari, Mujahid! Lari!!!!" Teriak Mujahid si pejuang cilik palestin kepada saya. Saya hanya tercengang. Saya masih kaku. Mujahid berlari ke arah saya dan menarik tangan saya.

"Mujahid, kau kena berjuang! Bangkit Mujahid!" Dia masih berteriak kepada saya. Tangan saya dia genggam erat. Tiba-tiba genggaman tangan kami terlepas. Seorang tentera zionis telah menarik Mujahid daripada saya. Saya lihat Mujahid teruk dikerjakan. Datang lagi seorang tentera yang membelasah Mujahid daripada belakang. Hanya lafaz takbir yang terbit daripada bibir Mujahid. Tangan Mujahid dipijak-pijak. Wajahnya ditampar-tampar dan ditumbuk-tumbuk sehingga memancut darah. Mujahid diperlakukan seperti binatang. Kenapa harus kanak-kanak yang sekecil itu dikerjakan oleh 4 orang dewasa? Muncung senapang kini dihalakan ke arah kepala Mujahid.

"Mujahhiiiiiiiidddddd!!!!!"