Sunday, May 27, 2012

Part 15

"Mujahiiiiddd! Jangan tinggalkan saya!!!"

Aku menoleh ke belakang. MasyaAllah. Aku lihat Mujahid telah membuka matanya dan tangan kanannya yang kugenggam tadi terangkat ke atas. Aku lantas berlari ke birai katil yang menempatkan Mujahid. Aku menggenggam tangannya semula.

"Mujahid! Mujahid!" Panggilnya. Aku tak pasti kenapa dia memanggilku? Bagaimana dia tahu namaku? Atau adakah dia memanggil dirinya sendiri? Nafasnya tercungap-cungap sambil kepalanya menoleh ke kiri dan ke kanan. Tangan kirinya meraba-raba tanpa tujuan. Aku segera membaringkannya semula, menyuruhnya mengucap dan bertenang. Segera kuperiksa segala vital signs.

"Saya dekat mana ni? Kenapa semuanya gelap? Tolong, saya dekat mana ni?" Aku tersentak. Gelap? Adakah...?? Tak mungkin. Aku segera melambai-lambaikan tanganku di hadapan matanya. Tiada reaksi. Dia masih kelihatan keliru dan tangannya terus teraba-raba. Innalillah...
----------------------------------------------------------------------------------------------

Ini merupakan hari ketiga Mujahid di wad baru setelah dia terjaga daripada komanya. Hari ketiga juga dia hidup dalam kegelapan. Kenyataan itu masih berat untuk diterimanya. Namun dia redha. Allah ingin menguji. Mujahid rindukan sahabat Palestinnya yang dia temui dalam tempoh komanya. Dia rindukan tanah Palestin yang dilihatnya dalam mimpi. Dia yakin benar itu bukan mimpi kosong. Dia yakin benar apa yang dilihatnya benar-benar berlaku di tanah itu.

"Dah dua hari aku perhatikan kau." Sergah satu suara yang datang dari arah kirinya. Mujahid menoleh ke arah suara tersebut.

"Kau muslim?" Soal Mujahid kepada empunya suara. Terkejut lelaki itu saat diajukan dengan pertanyaan itu.

"Ye. Kenapa?"

"Assalamualaikum warahmatullah. Aku Mujahid. Siapa nama kau?" Mujahid memulakan salam perkenalan dengan jiran sebelah katilnya.

"Oh waalaikumussalam. Aku Danial. Panggil Danny je."

"Danny..Kenapa kau kat sini?"

"Aku baru selesai chemo. Leukimia." Mendatar suara Danny.

"Innalillah. Semoga Allah bagi kau kekuatan untuk melalui semua ni." Danny tersentak dengan doa yang baru diungkapkan Mujahid. Malaikat apakah ini? Musibah yang melandanya tak kurang hebat juga namun masih mengambil berat tentang aku.

"Aku selalu dengar lagu-lagu dari arah katil kau tapi tak pernah lagi dengar suara kau. Rupanya berpenghuni juga katil sebelah aku ni. Lagu apa yang kau dengar selalu tu?"

"Oh. Kau suka? Sedapkan? Itu lagu kumpulan Nirvana." Jawab Danny. Suaranya sudah mula kedengaran ramah.

"Oh..aku tak kenal Nirvana. Mirwana aku kenal lah. Hahaha.." Mujahid tergelak kecil.

"Aku pulak tak kenal Mirwana." Danny ikut tergelak.

"Mirwana tu kumpulan nasyid. Nanti kalau ada masa, dengarlah lagu dorang. Sedap-sedap jugak. Liriknya pun menyentuh perasaan." Mujahid meraba-raba selimutnya. Kakinya terasa sejuk. Dia cuba menutup hujung kakinya dengan selimut. Danny menghampiri Mujahid dan menolongnya menyelimutkan kaki Mujahid.

"Jazakallahu khairan katheera." Ucap Mujahid. Danny memandang Mujahid. Apakebenda tu? Ditanya tentang maksud ucapan Mujahid sebentar tadi.

"Itu adalah ucapan terima kasih yang merangkap doa. Maksudnya semoga Allah memberikan sebaik-baik dan sebanyak-banyak balasan kepada yang berbuat jasa." Hati Danny tersentuh.

"Hmm..kau ni nampak macam budak baik-baik je. Aku selalu perhatikan kau. Kadang-kadang aku nampak kau menangis. Aku nampak keluarga dan kawan-kawan kau bagi kata-kata semangat kat kau. Aku tau mesti bukan senang untuk kau hadapi semua ni. Tapi aku harap kau tabah. Tapi aku tengok kau pun memang tabah orangnya. takde hal la kan? Chill bro! Kau cuma hilang satu nikmat je." Giliran Danny pula bagi kata-kata semangat.

"Terima kasih. Betul semua kata-kata kau tu. Dunia ni sementara je. Jadi segala apa yang kita lalui atas muka bumi ni pun sementara je. Sekarang aku buta. Tapi nanti di akhirat aku dapat melihat semula. Harap-harap apa yang aku dapat lihat di akhirat nanti semuanya indah-indah belaka." Danny hanya mengangguk-angguk sendiri. Dia menepuk-nepuk bahu Mujahid lalu kembali ke katilnya.

"Aku dah mengantuk. Aku tidur dulu. Good night." Danny menarik selimutnya hingga ke kepala. Mujahid mengucap salam kepada teman barunya itu. Dia menepuk bantalnya lalu berbaring. Dia menutup matanya rapat-rapat. Airmatanya menitis keluar. Subhanallah, sudah tak ada beza pejam atau celik. Aku sudah tak nampak apa-apa.

"Mujahid! Kau kena bangkit! Kena kuat!" Terngiang-ngiang kata-kata terakhir Mujahid Palestin sebelum dia dibelasah dengan dahsyat oleh tentera zionis. Ini hari ketiga. Cukuplah aku meratap dan menangis. Aku harus kembali. Aku rasa Danny di sebelahku ini memerlukan aku untuk memudahkan perjalanannya ke alam barzakh nanti. Tidak Allah jadikan sesuatu itu sia-sia.

Malam itu akhirnya Mujahid bangkit untuk solat malam. Dia menekan butang untuk memanggil jururawat.

"Dr. Mujahid free tak sekarang?" Soalnya kepada jururawat yang bertugas. Jururawat itu segera memanggil Dr. Mujahid yang kebetulan free.

"Kenapa dia panggil saya lewat-lewat malam macam ni?" Jururawat itu hanya mengangkat bahunya tanda tak tahu. Dr. Mujahid terus melangkah laju ke wad Mujahid.

"Assalamualaikum Mujahid. Ada apa yang boleh saya bantu?" Mujahid menjawab salam dan tangannya meraba-raba untuk berdiri dari katil.

"Doktor, saya nak solat. Boleh doktor tolong saya ambil wudhuk?"

"Solat malam? Oh..takde masalah. Saya pun kebetulan nak solat juga ni. Jom kita ambil wudhuk sama-sama." Dr. Mujahid memimpin Mujahid ke bilik musolla hospital.

"Doktor, mulai malam ni boleh saya solat malam dengan doktor setiap malam?" Pinta Mujahid. Dr. Mujahid hanya tersenyum.

"Boleh apa salahnya. Baguslah nampaknya Mujahid dah semakin kuat. Esok Mujahid ada appointment dengan occupational therapist. Selepas ini Mujahid akan diberi tongkat dan diajar bagaimana nak membiasakan diri dengan kehidupan baru Mujahid. InsyaAllah dapat memudahkan urusan Mujahid nanti." Terang Dr. Mujahid panjang lebar.

"Jazakallah doktor. Mujahid bertuah ditemukan dengan doktor macam Dr. Mujahid."

"Waiyyak, saya yang lebih bertuah dipertemukan dengan awak." Mereka berdua terus melewati pintu musolla hospital.

No comments:

Post a Comment