Monday, October 3, 2011

part 12


Nama dia Mujahid. Sama dengan aku. Kami sama-sama lelaki. Aku agak ketinggian kami lebih kurang sama. Cumanya dia lebih muda daripada aku. Dan kini dia terbaring lemah di hadapanku. Tapi melalui cerita-cerita mereka yang menziarahnya, dia ternyata tidak selemah jasad yang terbaring di hadapanku ini. Aku mungkin sedang berdiri sekarang. Aku mungkin kelihatan lebih bertenaga dan kuat berbanding the other Mujahid in front of me. Tapi aku yakin kegagahan jiwa dia lebih kuat menyerlah berbandingku.

"Saya ni bukanlah rapat sangat dengan pesakit ni, doktor. Saya cuma selalu jumpa dia kat kedai runcit, kadang-kadang kedai mamak. Dia selalu bertanya soalan-soalan aneh kat kami. Dan sebelum balik dia akan suruh kami buka al-Quran untuk cari jawapan sebenarnya. Boleh kata saya baru jumpa dia dalam 2-3 kali camtu je." Jawab si lelaki berambut kerinting sambil menggaru kepalanya apabila ditanya apakah hubungannya dengan pesakit sebaik sahaja pesakit berjaya distabilkan melalui rawatan di hospital.

"Saya rasa kamilah orang yang terakhir yang bersama dengan pesakit ni. Macam biasa dia tengah tanya-tanya soalan kat kami. Lepas tu dia minta izin nak balik. Dia nampak normal je, doktor. Tak nampak langsung tanda-tanda dia tengah sakit ke apa. Dia jalan kaki je balik rumah. Kebetulan kami lalu jalan sama. Dari jauh saya nampak dia jalan macam orang mabuk je, doktor. Hairanlah jugak, takkan mabuk kot. Tiba-tiba dia rebah. Tu yang kami terus bawa dia ke sini. Kami tak tahu rumah dia kat mana, so kami terpaksa guna telefon bimbit dia untuk cari nombor ahli keluarganya. Nasib baiklah tak susah. Nama 'abah' nama yang pertama keluar dalam list contacts dia, doktor." Terang si kaca mata 'old skool' dengan panjang lebar. Aku mengangguk tanda faham.

Sejak itu aku sedar Mujahid yang berada di depan mataku ini bukan calang-calang orangnya. Banyak juga yang aku bualkan dengan ibubapa Mujahid. Menurut ibunya, jiran-jiran di taman perumahan sudah mula rindukan suara Mujahid mengalunkan azan. Wad ini juga tak putus-putus dikunjungi pelawat yang merindui Mujahid dan risau akan keadaannya. Melihatkan sahabat handai yang datang berkunjung, ternyata juga Mujahid bukan remaja biasa. Alunan surah al-baqarah dan surah yasin dari bilik yang menempatkan Mujahid sentiasa mengisi ruangan bilik itu pada setiap hari. Terdapat dua orang sahabat Mujahid yang telah menjadi pengunjung tetap wad ini. Nu'man dan Ikram. Merekalah yang tidak putus-putus membacakan surah al-baqarah serta surah-surah lain jika berkesempatan. Dan lebih mengkagumkanku, mereka merupakan penghafaz ayat-ayat al-Quran.

Sudah dua minggu Mujahid terlantar di sini. Selama itu juga hatiku tenang dan senang merawatnya. Meski jasadnya kaku tidak bergerak, namun aku dapat merasa ada tolakan dalam jiwaku sendiri. Melihat wajahnya, aku merasa tenang. Menjejakkan kaki ke biliknya pula menghadirkan suatu rasa yang sukar diungkap. Rindu mungkin? Ya, rindu yang terlalu dalam. Yang apabila disentuh, membekas di kalbu. Allah...perasaan apakah ini..Aku rindu....

Aku terduduk di suatu sudut. Membelek fail Mujahid. Cerebral Hypoxia (kekurangan oksigen di dalam otak). Mengikut pemeriksaan perubatan yang dijalankan, Mujahid diserang lelah. Sesak nafas lalu menyebabkan bahagian otak tidak mendapat bekalan oksigen yang sempurna. Mujurlah Mujahid segera dihantar ke klinik dan diberi bantuan bekalan oksigen. Mengikut rekod yang tertulis, tempoh masa antara Mujahid tumbang dan seterusnya diberikan bantuan oksigen tak melebihi lima minit kerana kebetulan Mujahid pengsan tak jauh dari klinik. Sel-sel otak pula kebiasaannya akan mati apabila tidak mendapat bekalan oksigen selepas lima minit. Sepatutnya Mujahid tidak koma sampai 2 minggu macam ni. Apa yang menghalang Mujahid daripada bangun daripada lenanya, ya Allah? Buntu rasanya apabila memikirkan puncanya.

Aku kembali memandang Mujahid. Subhanallah. Sungguh ada semacam cahaya yang mengelilingi seluruh tubuhnya. Rasa rindu itu bertandang kembali. Tekak terasa perit dan berpasir menahan suatu rasa. Sebak. Tak semena-mena butir-butir jernih yang hangat mengalir di pipi. Memori indah datang menyapa ingatan. Senyuman mesra sahabat-sahabat yang berkumpul dalam bulatan yang kami panggil bulatan gembira. Senyuman yang mendatangkan semangat dalam hati, menebarkan ketenangan yang tersendiri dan memberikan kekuatan yang tidak disangka-sangka. Genggaman erat tangan-tangan kami sewaktu bertemu, seolah-olah mengalirkan virus-virus cinta yang menjadi sebati dengan ukhwah yang kami bina atas dasar bersama-sama memperbaiki diri menjadi hambaNya yang lebih baik. Setiap butir kata-kata yang keluar adalah nasihat dan peringatan yang menyentuh lembut setiap sudut hati ini. Tiba-tiba tubuh terasa hangat bila pelukan para ikhwah singgah dalam memori. Masakan aku boleh lupa betapa dengan pelukan-pelukan itulah aku mendapat semangat baru untuk terus bangkit daripada jatuhku, untuk menahan asaku daripada putus di tengah jalan dan juga dalam pelukan-pelukan itulah airmata jantanku ini menitis dalam sendu yang sepi, menangisi perpisahan dan juga segala penat jerih bersama saudara-saudara seakidahku dalam perjalanan dakwah dan tarbiyyah ini.

dakwah dan tarbiyyah. usrah dan daurah. murabbi dan naqib. mukhayyam dan muasykar. jaulah, MABIT dan khatibah.

Ya Allah! inilah yang aku rindu-rindukan selama dua minggu ini rupanya!

Airmata tak payah cerita. Mencurah ibarat Niagara Falls.

Manusia itu sifatnya pelupa.


No comments:

Post a Comment