Tuesday, April 5, 2011

part 10


Daripada panorama yang hitam tanpa cahaya, kelopak mata saya perlahan-lahan terbuka. Jalur-jalur cahaya melintasi ruang pandangan. Telinga pula mula menangkap bunyi. Bising dan bingit. Bunyi letupan meletus di sana sini. Saya melihat bumi ini seakan dihujani api. Di manakah saya? Jeritan-jeritan manusia mulai mendekati deria pendengaran. Di manakah saya? Manusia semuanya lari bertempiaran. Di manakan saya? Ya Allah, kiamatkah ini??

Bingung. Sesungguhnya saya bingung. Di mana saya? Kenapa saya di sini? Apa yang perlu saya lakukan? Saya berlari. Berlari tanpa arah. Melanggar sesiapa sahaja yang melintas dan menghalang jalan saya. Sampai satu sudut, larian saya terhenti. terdapat sebuah dinding yang amat tinggi seakan terbuat daripada konkrit menghalang pandangan dan perjalanan saya. Saya kemudiannya berlari ke arah yang berlainan. Dinding yang sama saya temui. Tanpa putus asa, saya terus berlari namun dinding yang sama tetap ditemui. Saya buntu. Allah! Di mana aku??!!

"Kau di Palestin." Seorang kanak-kanak lelaki berkulit putih mulus, wajahnya penuh cahaya kini berada di depan mata saya. Wajah itu saya amati dalam-dalam. Seperti pernah saya temui.

"Makanlah. Aku jumpa kau terlantar di tepi dinding pemisah Palestin-Israel. Sudah sehari semalam kau di sini." Saya tercengang. Bagaimana saya boleh berada di Palestin? Seingat saya, saya baru saja main perang-perang dengan Nu'man dan Ikram.

"Aku Mujahid. Siapa nama kau?" Tanya kanak-kanak Palestin itu. Alangkah terkejutnya saya, kini baru saya ingat siapa dia.

"Kau Mujahid? Yang dalam tv tu?" Saya menjadi sangat teruja dapat berjumpa dengan kanak-kanak yang saya rasakan bagai hero cilik tanah Palestin.

"Apa yang kau mengarut ni. Aku tak faham." Mujahid tersengih menampakkan baris giginya yang putih bersih. Saya terus bangkit dari pembaringan dan memeluk Mujahid.

"Nama aku pun Mujahid! Aku nak jadi kawan kau! Aku nak bersama kau untuk bebaskan Palestin!" Saya memeluk erat Mujahid. Saya tak sangka saya boleh berjumpa Mujahid. Saya masih tak faham macam mana saya boleh berada di sini namun kini saya tak peduli kerana harapan saya untuk bertemu Mujahid dan berada bersamanya di tanah Palestin kini telah jadi kenyataan.

"Haha. Susahlah macam ni. Nama kita serupa. Orang lain keliru nanti." Mujahid membalas pelukan saya dengan penuh keramahan tanda ikatan persahabatan yang baru.

"Aku Mujahid Malaysia, kau Mujahid Palestin. Tapi aku cemburu. Aku pun nak jadi Mujahid Palestin!" Saya melepaskan pelukan dan menyeluruhi wajah Mujahid, masih tidak percaya. Tubuhnya kecil sedikit daripada saya. Seingat saya Mujahid yang keluar di TV lebih muda daripada saya. Lebih muda, tapi lebih matang. Itu saya sangat pasti.

"Haha tak perlu cemburu. Kita berdua Mujahid Islam. Okey?" Saya tersenyum dan mengangguk. Mujahid menyuapkan makanannya kepada saya. Hanyalah sekeping roti kosong.
Kemudian saya meneguk air kosong buat melepaskan dahaga. Saya memandang sekeliling. Rupanya bukan saya dan Mujahid je kat sini! Seluruh bilik ini yang bermandikan cahaya lilin ini dipenuhi lelaki-lelaki yang berseragam tentera. Kebanyakan orang yang saya lihat sedang solat dan membaca al-Quran serta berzikir.

"Kat mana ni?" Saya bertanya kepada Mujahid.

"Inilah kem pasukan Hamas. Untuk beberapa hari ni kau akan bersamaku dalam kem ini."

"Hamas? Ape tu?"

"Hamas ialah salah satu sayap perjuangan Ikhwanul Muslimin dari Mesir, di asaskan oleh Sheikh Ahmad Yassin. Hamas berpusat di Gaza. Semua anggota Hamas ialah anggota terpilih. Bukan sembarangan orang dapat menganggotai Hamas dan bukan semua juga boleh berada bersama pasukan Izuddin Al-Qassam."

"Ikhwanul Muslimin? Izuddin Al-Qassam? Siapa semua tu?" Saya masih samar-samar dengan segala istilah yang diuucapkan Mujahid.

"Ikhwanul Muslimin tu ialah sebuah persatuan Islam yang diasaskan oleh Sheikh Hasan Al-Banna di Mesir. Persatuan ni mengumpulkan para muslimin dan muslimat yang nak kembalikan kegemilangan Islam di tengah-tengah kemelut ummah yang kucar-kacir sekarang. Kumpulan ini membentuk individu-individu muslim yang sejati melalui tarbiyyah islami (pendidikan) yang berterusan. Tarbiyyah ni dijalankan dalam bentuk kumpulan-kumpulan kecil dipanggil usrah. Macam sunnah nabi Muhammad waktu awal-awal Islam disebarkan dulu. Kau faham?"

"Oh..aku baru teringat ustazah pernah cerita yang dakwah Rasulullah SAW dimulakan secara berkumpulan yang kecil-kecilan dan secara sembunyi-sembunyi. Macam tu?" Mujahid mengangguk dan tersenyum.

"Ibu dan ayah pun selalu pergi usrah." Saya menambah. Buat sementara ingatan saya kembali kepada dua wajah ayah bonda tercinta. Setiap minggu saya lihat mereka pergi usrah. Kadangkala saya ikut juga. Yang seronoknya bagi saya ialah bila ramai-ramai kawan ayah dan ibu bawa macam-macam jenis makanan. Sedap-sedap belaka. Dalam majlis usrah tu saya lihat mereka mengaji al-Quran, berbincang-bincang dan akhir sekali jamuan makan. Sesekali saya ikut ayah pergi daurah dan qiyam di masjid. Ayah akan kejut saya solat tengah malam tapi biasanya saya bangun, duduk dan berzikir 2-3 minit kemudian saya sambung tidur.

"Bagus, maknanya kau faham. Sekarang Izuddin Al-Qassam pula. Al-Qassam ni ialah barisan tentera khusus untuk pejuang-pejuang palestin. Hanya anggota Hamas terpilih je yang boleh sertai. Kau dah faham sistem tarbiyyah tadi kan. Dalam hamas akan selalu ada perjumpaan berkumpulan. Setiap ketua akan memantau anak buah mereka. Mana yang bagus dan berkualiti akan ditarik masuk ke dalam sayap Al-Qassam." Aku tercengang mendengarnya. Kedengaran sungguh hebat dan bukan calang-calang orang boleh masuk sayap Al-Qassam.

"Orang yang masuk Al-Qassam ni kena ada rekod yang baik, hafal sekurang-kurangnya 15 juzuk al-Quran, aktif hadiri perjumpaan di masjid, tinggi ilmu al-Quran dan hadithnya. Dan paling penting jugak, perahsia!" Mujahid menyambung lagi. Saya tambah kagum. Baru mahu bertanya lanjut lagi, Mujahid suruh saya mendiamkan diri dengan isyarat jari telunjuk di bibir. Mujahid melihat ke kiri dan ke kanan.

"Pertemuan ini hanya bagi mereka yang telah bersedia untuk syahid. Bagi yang belum bersedia, silakan keluar dan teruskan buat apa yang sedang kamu buat." Suara garau itu bergema ke seluruh ruang bilik. Gemanya memantul masuk ke dalam segenap urat nadi saya. Bulu roma meremang naik. Syahid? Bersediakah saya? Layakkah saya? Saya memandang ke sekeliling. Tiada seorang pun yang keluar dari bilik. Masing-masing setia di tempat duduk masing-masing. Pandangan semua tertumpu ke arah ketua yang bersuara tadi. Wajahnya samar-samar dalam cahaya lilin yang malap. Hanya susuk tubuhnya yang tinggi dan tegap sahaja yang boleh saya amati.

"Saya mahu syahid! syahid impian saya!" Saya laungkan semangat itu dalam hati saya. Seluruh jasad saya seolah telah melekat di tanah Palestin. Saya tak mahu tinggalkan bilik ini. Seluruh ahli bilik tersebut berbincang sesuatu yang tidak dapat saya fahami isinya. Mungkin bahasa arab tinggi. Mungkin istilah-istilah atau kod-kod rahsia. Seterusnya kesemua ahli bilik bangkit bertakbir dan bersolat sunat dua rakaat. Saya turut serta. Akhirnya kesemuanya bersurai. Berpecah mengikut arahan ketua masing-masing.

"Mujahid, kau ikut je aku!" Mujahid meraih bahu saya dan kami berlari ke suatu destinasi.

"Macam mana kau boleh sampai ke sini Mujahid?" Saya menyoal Mujahid, didorong rasa ingin tahu yang sangat kuat. Mestilah, Mujahid nampaknya tiada ahli keluarga di sini. Bukankah semuanya telah mati syahid. Macam mana pula boleh bersama-sama anggota hamas?

"Aku pernah dikejar Israel pada suatu malam, malam yang aku kehilangan ahli keluargaku. Aku dikepung dan dicederakan. Aku tidak sedarkan diri. Bila aku buka mata je, aku bersama dengan anggota hamas. Mereka telah menyelamatkan aku dengan izin Allah. Mereka cakap mereka kenal abang-abangku. Aku akhirnya tinggal dengan mereka, dijaga oleh mereka dan dididik ilmu agama dan ilmu perang oleh mereka. Bukan aku je kanak-kanak kat sini. Ramai lagi kanak-kanak dan remaja Palestin di sini. Kamilah golongan pelapis." Dalam kami berlari-lari meredah kedinginan malam, Mujahid bercerita serba ringkas tentang penglibatannya dengan hamas. Dalam diam, saya kagum. Kagum dengan kekuatan anak-anak Palestin. Benarlah, mereka orang yang terpilih.

"Ke mana kita ni Mujahid?"

"Jihad dan syahid fi sabilillah!" Mujahid menjawab sambil menjulang penumbuknya ke atas penuh semangat.

"Kita nak bom diri sendiri ke?" Teringat pula saya, dekat surat khabar banyak mendedahkan tentang pengebom-pengebom berani mati. Mereka berjuang bergadai nyawa untuk agama Islam, kata suratkhabar.

"Hish! Nyawa kita bukan semurah itu! Hamas mengajar kami agar berjihad penuh strategi dan matlamat. Kami tak mengebom sesuka hati atau membuta tuli. Kami kenalpasti siapa musuh kami kemudian kami susun strategi yang mantap. Akhir sekali kami berserah kepada Allah, pemegang nyawa kami semua. Kami akan bertempur habis-habisan selagi ada peluang dan cara yang berkesan. Menang atau syahid, itu harapan kami!" Mujahid penuh semangat mengungkap kata-katanya.

"Ingat ni, Mujahid. Tentera Israel bertempur untuk dapatkan sesuatu. Tapi kita bertempur atas dasar keyakinan kita, iman kita! Keyakinan kita, tekad dan kemahuan kita yang bulat terhadap mati syahidlah yang membuat kita lebih kuat berbanding musuh! Ini modal utama kita!" Mujahid sekali lagi meniupkan kata-kata semangatnya. Saya menjadi berkobar-kobar untuk menjadi syahid. Mujahid membelok ke arah satu bangunan kecil. Di situ Mujahid membuka sebuah peti, terdapat senjata di dalamnya. M-16! Saya kenal senapang tu. Raifal M-16 selalu je saya gunakan dalam game-game bertempur yang saya main di komputer atau di playstation Nu'man. Setiap kali habis sekolah, saya dan Ikram kadang-kadang pergi ke rumah Nu'man untuk main Counterstrike. Melalui game tu saya banyak kenal senjata. M-16 sudah tak asing di mata.

"Kau tahu ni apa?" Soal Mujahid. Sambil tersengih, saya mengangguk. Raifal tersebut ialah sejenis raifal yang ringan. bermuncung panjang, pelurunya berkaliber 5.56 mm, kelopak pelurunya boleh memuatkan 30 butir peluru dan melalui fungsi automatik, sekali tarikan picunya boleh memuntahnya semua peluru. Manakala dengan fungsi separa automatik, boleh memuntahkan 3 biji peluru dengan sekali tarikan picu. Yang saya tahu ada banyak variasi untuk M-16 namun saya tak dapat pastikan yang mana mewakili fungsi yang mana.

Suara muadzin membelah langit bumi anbiya'. Alunannya yang merdu terhimpun membentuk satu rasa yang sukar digambarkan dengan kata-kata mahupun tulisan.

"Bagus, kau ambil satu. Mari kita ke bawah pokok sana. Dah masuk waktu Subuh." Kami berdua berlari ke bawah pokok. Dengan air botol yang dibekalkan anggota hamas, kami berwudhuk. Airnya sejuk tapi nyaman. Mujahid menjadi imam dan saya makmumnya. Takbiratul ihram di angkat. Terasa nyaman dan khusyuknya bersolat subuh secara berjemaah ditemani embun, pohon-pohon, tanah, langit dan bunyi kicauan burung-burung. Zikir kami dan alam bersatu dalam satu irama yang indah. Syukur yang tak terkira dipanjatkan ke hadrat ilahi. Dapat sujud di bumi Palestin, bukankah ia satu anugerah terbesar. Mencium tanah yang mewangi dengan darah para syuhada'.


No comments:

Post a Comment