Tuesday, March 29, 2011

part 4


Mujahid terjaga daripada tidurnya. Terasa sungguh ngeri mimpinya malam tadi. Serangan zionis telah membuatnya kehilangan seluruh ahli keluarganya. Dalam hati Mujahid berdoa agar mereka sekeluarga dilindungi Allah.

Allah..sejuknya malam ni..kesejukan menggigit hingga ke tulang saya. Saya meraba-raba dalam gelap. Saya memandang ke kiri, ke kanan..gelap. hitam pekat. Saya memandang ke atas pula. MasyaAllah cantiknya bintang-bintang. Maha Suci Allah yang menciptakan. Teringat masa dulu ummi pernah ceritakan kisah nabi yusuf yang bermimpi bintang-bintang tunduk kepadanya. Bagaimana agaknya rupa bintang-bintang yang tunduk ya? Ah, apa-apa pun bintang-bintang itu sentiasa dalam keadaan tunduk dan sujud kepada Penciptanya, Allah Azzawajalla. Bila teringat yang bintang-bintang sentiasa bersujud, saya tiba-tiba rasa terpanggil untuk turut sama 'berjemaah' bersama bintang-bintang, sujud kepada Yang Punya Alam. Satu ketenangan yang luarbiasa meresap jauh ke dasar hati.

Syukur, ya Allah. Syukur atas segala nikmat yang tidak terhitung.

Saya lekas bangkit dari sujud dan memandang semula ke arah bintang-bintang. Ada memori yang berputar-putar dalam minda. Saya hairan. Sejak bila pula rumah saya ada ruang mengintai langit di bahagian atap.

"Uweekkk..uwaaa...!!" Tiba-tiba saya terdengar suara tangisan bayi. Astaghfirullah, ya Allah bagaimana aku boleh terlupa! Yang kusangaka mimpi rupanya bukanlah mimpi! Syahid, adikku! Adikku yang lahir sebagai yatim piatu!

Saya berlari mendapatkan adik kecil saya. Saya mendodoikannya supaya kembali lena. Namun tangis adik semakin menjadi-jadi. Saya menjadi panik dan bingung. Saya betul-betul tak tahu apa yang nak dibuat seorang diri, malam-malam yang gelap gelita macam ni.

"Syahid, jangan menangis lagi. Abang masih bersamamu." Saya cuba memujuk adik. Tapi gagal. Dengan Syahid masih dalam pangkuan saya, saya sujud kepada Allah, satu-satunya sumber pertolongan saya!

"Hasbunallahi wanikmal wakiil! Sesungguhnya hanya Engkaulah sebaik-baik penolong ya Allah! Bantulah aku ya Allah! Apalah yang ada pada diriku yang teramat-amat kerdil ini!" Saya menangis-nangis tanpa henti. Saya berasa amat-amat lemah. Tiada kekuatan selain kekuatan Allah yang bersama saya. Jika tiada iman di hati, boleh saja saya tinggalkan adik kecil ini, atau membunuh diri, atau membunuh bayi ini.

"Mujahid, doa tanpa usaha itu amalan sia-sia." Terngiang-ngiang pesan abi kepada saya suatu ketika dulu. Sambil mengendong adik saya dengan erat, saya meredah kesejukan malam untuk mencari apa saja sumber untuk menenangkan adik. mungkin dia lapar. mungkin dia takut. Ya Allah, tolonglah aku.

"Pstt!!" tiba-tiba terdengar suara seseorang seolah-olah memanggil saya secara berbisik. Saya menoleh ke belakang. Tiada sesiapa. Saya meneruskan perjalanan.

"Psst!! hey budak kecil! Ke kanan kamu!" Saya terkejut dan mengikut arahannya agar memandang ke kanan. Kelihatan seorang wanita berjubah dan berhijab berlindung di sebalik bangunan kedai-kedai. Saya menuju ke arahnya.

"Ke mana kamu nak pergi dengan bayi yang menangis begitu? Askar zionis masih berkawal di sini! Mari ikut mak cik!" Makcik itu lantas menarik tangan saya dan berlari menuju ke sebuah bangunan. Dalam bangunan itu terdapat puluhan orang kampung saya. Ada yang sedang mengaduh kesakitan akibat cedera parah. Ada yang sedang tidur lena. Ada yang sedang membaca Al-Quran dan ada yang sedang bersolat.

"Nama makcik, Amna. Di sini tempat persembunyian kebanyakan tentera Allah. kebanyakan mereka sedang bertugas di waktu ini. Mari sini adik kamu itu, biar makcik susukan. Dia pasti lapar." Saya menyerahkan Syahid kepada makcik Amna. Simbahan lampu pelita menyinari wajah makcik Amna dan Syahid. MasyaAllah kecilnya Syahid. Wajahnya masih merah lagi.

"Kasihan, baru dilahirkan saja sudah menjadi yatim piatu. Alhamdulillah, Allah selamatkan anak Palestin ini, pasti jadi pejuang agama suatu hari nanti, insyaAllah."

Saya mengaminkan doa makcik Amna. Makcik Amna memasukkan Syahid ke dalam jubahnya untuk menyusukannya.

"Ajaib sungguh budak ini masih hidup walaupun seharian tidak makan." Saya lihat wajah makcik Amna mengukirkan senyuman yang indah. Ya Allah, mulianya hati wanita ini. Kau berkatilah hidupnya.

"Ya Mujahid.." Saya terkejut mendengar makcik Amna memanggil nama saya.

"Macam mana makcik tahu nama saya?"

"Makcik merupakan sukarelawan di sini, untuk merawat dan menyediakan keperluan-keperluan pejuang-pejuang Palestin dan mangsa-mangsa perang yang lain. Makcik kenal dengan abang kamu, Umar, Ibrahim dan Khalid. Mereka sempat bertemu dengan makcik sebelum ditahan zionis. Makcik belum dapat apa-apa berita lagi tentang mereka. Yang pasti abang-abang kamu mahu kamu dipelihara makcik dan mahu kamu membesar dengan para mujahideen. Mahukah kamu menyertai mereka?"

"Allahuakbar! Mestilah makcik! Saya tinggal sebatang kara dan saya juga tak pasti bagaimana saya nak membesarkan adik saya ni. Terima kasih, makcik! Hanya Allah yang boleh membalas jasa baik makcik!" Makcik Amna memeluk saya. Saya berasa bersyukur betapa Allah telah melapangkan kesempitan saya. Allah memberi ketenangan dalam hati saya saat saya sudah kehilangan anggota keluarga. Allah menemukan saya dengan makcik Amna di saat saya buntu ke mana arah tuju hidup saya dan Syahid.

"Kau memang kuat. Sabarlah anakku. Hidup di dunia ini hanya sementara. Kau tahu ke mana kau menuju, dan insyaAllah makcik akan selalu doakan kau tiba ke destinasi tujuanmu."

Airmata saya tak dapat ditahan. Seperti dulu, cita-cita saya masih kuat. Saya akan bebaskan Al-Aqsa dengan darah, jiwa dan raga saya! Usia yang Allah kurniakan kepada saya tak akan saya sia-siakan! Saya lahir di tanah anbiyaa' yang mulia maka saya akan muliakannya dengan islam dan mengusir musuh Allah dari bumi ini!

Tiba-tiba keadaan dalam bangunan menjadi huru-hara. saya mendengar bunyi letupan bom yang dahsyat di luar. Semua yang berada dalam bangunan berlari lintang-pukang menyelamatkan diri. Makcik Amna memegang erat tangan saya dan kami berlari tanpa arah tuju. Tujuan kami hanya satu, mahu menyelamatkan diri. Dalam pekat malam yang haru-biru, secara tidak sengaja saya terlepas daripada genggaman erat makcik Amna. Saya menjerit-jerit nama makcik Amna. Namun keadaan yang hiruk-pikuk menyebabkan suara saya tenggelam dalam ramai. Saya terus berlari dengan hanya ada Allah dalam hati.

"Hoi budak! Nak lari ke mana?" Ada suara di belakang saya. Saya menoleh dan mendapati ada lelaki bertubuh tegap, memakai pakaian tentera zionis, wajahnya bengis sekali. Di tangannya ada sebuah senapang bermuncung panjang. Hati saya menjadi takut. Saya cuba berundur dan berlari ke arah yang lain namun rupanya saya telah dikepung.

Saya bagai seekor tikus yang sedang dikelilingi kucing-kucing jalanan yang lapar. Perut saya merasa kecut, amat kecut. Jantung seakan sudah tidak berdenyut lagi. Segala urat saraf menjadi sangat tegang. Masa seakan telah berhenti. Pergerakan saya sudah tersekat, sesungguhnya. Adakah malam ini merupakan malam terakhir saya di muka bumi ini?

Ya Allah..selamatkan aku..sekiranya aku mati, biarlah aku mati sebagai syahid!

No comments:

Post a Comment