Tuesday, March 29, 2011

part 5


"Allahuakbar!!" Jerit hati saya. Saya mengumpul segala kekuatan untuk berdepan dengan musuh-musuh Allah. Mereka semua ada 4 orang. Tinggi-tinggi dan berbadan tegap lagi sasa.

"Mujahid, nama kau sendiri bermaksud seorang pejuang. Sudah tentu harapan abi dan ummi amat tinggi untukmu menjadi seorang pejuang. Malah bukan abi dan ummi je yang nak kau jadi seorang pejuang, tapi kami semua, seluruh umat Islam yang menantikan kehadiran seorang perwira agama!" Kata-kata Umar terngiang-ngiang dalam kepala. Umar kata begitu kepada saya semasa saya menangis akibat dibuli anak-anak zionis.

Dalam pekat malam, perlahan-perlahan saya tunduk ke bawah dan dengan segera mengisi dan menggenggam kedua-dua belah tangan dengan bebatu kerikil bercampur pasir. Wahai makhluk Allah yang berada di genggamanku, bersedialah berjuang bersamaku. Kau dan aku, kita sama-sama hamba Allah. Kau dan aku sama-sama tidak redha dengan perbuatan laknatullah ini. Wahai Tuhan yang memiliki seluruh alam, kurniakan aku dan makhluk-makhlukMu ini kekuatan untuk menentang musuh kami! Kekuasaan hanya milikMu ya Allah!

"Allahuakbar!!" kali ini kalimah itu tidak lagi terlantun dalam hati. Sekuat hati saya melempar batu-batu dan pasir yang berjaya saya capai. Allah bersama saya! Allah bersama saya! Begitu saya menguatkan diri. Keempat-empat askar itu mendekati saya. Mereka memegang tangan saya.

"Jauhkan diri kamu yang hina daripada aku!" Tangan-tangan mereka saya gigit-gigit! Rasakan! Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman senapang.

"Cis! Begitu kecilnya hati kamu semua, dengan budak kecil pun mahu berlawan. 4 lawan satu pula tu! Dasar zionis pengecut! Pembuli!"Kedengaran suara seorang lelaki yang sayup-sayup dari suatu arah yang tak dapat saya kenalpasti. Yang saya tahu kepala saya terasa seperti dihentak dari belakang tadi. Kini malam yang pekat bertambah kepekatannya. Segala suara menjadi sayup-sayup nun di kejauhan. Jasad saya terasa bertambah berat dan seakan telah menyembah bumi. Bulan penuh hilang dari pandangan mata.

"Allah. Sesungguhnya, jiwaku, darahku, hidupku, ibadahku hanyalah untukMu, untuk agamaMu, untuk Palestin.." Ucapanku hanya bergema dalam ruang hati.

****************
Tiupan angin khatulistiwa menyapu wajah saya. Roti sardin yang ibu bekalkan kepada saya masih tidak bersentuh. Suara Mujahid di TV semalam masih terngiang-ngiang di kepala. Apa khabar Mujahid itu agaknya? Pasti dia sedih tinggal seorang diri. Hidup lagikah atau sudah syahid menemui Allah?

Loceng berbunyi menandakan tamatnya waktu rehat. Saya membawa bekal yang masih berisi roti sardin beserta botol air menuju ke kelas 5 Salahuddin Al-Ayyubi. Saya suka nama kelas saya. Sebab ayah saya sedang menyiapkan siri kartun Saladin dan saya rasa kartun itu sangat hebat.

"Mujahid! Kau pergi mana tadi, tak rehat dengan kitorang pun!" Sergah Nu'man dari jauh. Nu'man berlari ke arah saya.

"Aku pergi duduk kat bawah pokok besar tu tadi." Saya menjawab sambil menunjuk ke arah pokok besar di tepi padang sekolah.

"Hoi kau gila! Pokok tu kan berhantu!" Nu'man segera menunjuk muka takutnya.

"Siang-siang macam ni hantu apanya. Mengarutlah. Hantu-hantu ni perasaan manusia je."

"Kau kenapa Mujahid? Kau jugak yang selalu cerita kat kitorang pasal hantu pokok besar tu." Tersentak saya dibuatnya. Ye ke?

"Eh ye ke? Sorilah.Aku reka-reka je cerita semua tu. Bagitahu kawan-kawan yang lain jugak yang pokok besar tu tak berhantu. Tempat tu sangat aman damai kalau nak berfikir panjang." Saya berlalu meninggalkan Nu'man terpinga-pinga seorang diri. Saya berasa bersalah. Berasa berdosa menyebarkan cerita-cerita karut dekat orang lain. Kenapa saya buat macam tu? Entahlah. Mungkin seronok dapat menarik perhatian orang lain mendengar cerita saya.

"Eh Mujahid! Tunggu aku! Jom masuk kelas sama-sama!" Nu'man memeluk bahu saya. Saya tersenyum.

"Kau maafkan aku?" Tanya saya kepada Nu'man.

"Eh kenapa pulak nak maafkan kau?"

"Sebab aku tipu kau."

"Haha. Kita semua samalah. Aku pun suka reka cerita. Tapi aku lagi suka dengar cerita kau." Nu'man tersenyum. Senyumnya nampak sangat ikhlas.

"Aku dah tak nak cerita bohong lagi. Lepas ni semua cerita aku, cerita benar."

"Haha yelah tu!"

"Kau tahu kisah palestin?" Saya menoleh ke arah Nu'man.

"Tak tahu. Aku cuma tahu ada kempen Free Palestine. Yang orang mintak derma tu."

"Kalau camtu nanti aku cerita kat kau pasal Palestin." Saya menghadiahkan sengihan yang lebih manis dan sopan daripada kerang busuk.

"Ok!" Kami berdua berjalan girang masuk ke kelas. Kisah Palestin? Kisah apa? Saya sendiri tak tahu kisah Palestin. Palestin itu di mana, saya sendiri pun tidak tahu. Yang pasti saya tidak akan berbohong lagi dalam bercerita. Saya akan korek kisah Palestin ini untuk dikongsikan bersama rakan-rakan. Saya tahu kini semangat Mujahid, pemuda cilik Palestin itu sudah terserap dalam hati saya. Saya akan sahut seruan Mujahid untuk menyelamatkan umat Islam dan membebaskan Palestin!

No comments:

Post a Comment